INI SUATU CERITA... to be continued...

@faizaldzasrikfanclub

Tuesday, March 11

SCORPIONS – Still Loving You (Germany)


STILL LOVING YOU adalah sebuah lagu Ballad Rock yang cukup hebat dan paling ‘berhantu’ di dunia. Seakan ada magisnya tersendiri yang sukar hendak dipertikaikan. Bait-bait melodinya sangat berkesan. 

Setiap kali lagu ini ke udara, ia pasti akan berjaya merasuk hati dan perasaan setiap para pendengar (sama ada pecinta Rock atau bukan pecinta Rock) untuk sama-sama 'jatuh cinta' dengan keseluruhan persembahan lagu ini. 

Saya berani mengatakan bahawa lagu ini memang fantastik dan 'the greatest among the best'. Sebuah lagu yang sangat besar pengaruhnya di seluruh dunia. Selayaknya, ia adalah sebuah 'mahakarya' atau 'masterpiece' yang sangat disayangi dan dihargai ramai pencinta muzik. Superb Rock Song! 

Lagu ini contoh terbaik bagaimana kekuatan setiap komponen 'instrument' iaitu vokal, lead gitar, rhythm gitar, bass dan drum bersatu dengan cukup seimbang dan sempurna. Masing-masing berperanan dengan begitu bertepatan pada setiap bait melodi. 

Suara 'hidung' Klaus Meine (vokalis) membawa 'trademark' yang jitu dan sukar ditiru oleh mana-mana penyanyi lain. Antara 'hidung dan tekak' yang menjadi kekunci ton unik suara macho dan 'melodious' milik Klaus. Tidak kurang, tidak lebih. Sentiasa 'tepat' pada kehendak melodi. 

Kebiasaannya, lagu-lagu Ballad Rock pasti akan ada 'gorengan petikan gitar' atau 'solo gitar' pada bahagian Bridge. Ya, selalunya ditonjolkan dengan hebat dan berhabis tenaga.

Berlainan pula dengan STILL LOVING YOU, kekuatan 'lead gitar' selari dengan 'rhythm gitar' yang memainkan peranan sejak dari verse ke chorus ke bridge, kembali ke verse, chorus, bridge, 2nd bridge hingga ke chorus akhir. Seolah-olah seiring. Rendah tinggi yang rapi. Sama-sama kuat dan mengasyikkan. 

Kita sebagai pendengar, boleh merasai hati dan perasaan terkesan. Bunyi bingit gitar-gitar itu bermain dan berlawan-lawanan dengan penuh emosi. Jika kita super sensitif, pastinya jiwa kita akan berasa tersentuh. Sangat hebat!

Liriknya ringkas. Perasaan mengaku kekhilafan dan meminta peluang kedua kerana perasaan cinta itu masih lagi wujud. Still Loving You! Jika Si Boyfriend goreng baik punya gitar karan sesedap itu... Si Girlfriend takkan lah tak terkesan kot. Pastinya beremosional! Seni yang padu menyentuh perasaan. Cinta kembali tertambat, pastinya akan bersatu kembali. 

Saya sendiri memiliki memori kenangan semasa kecil apabila mendengar lagu ini. Pada ketika itu, saya baru sahaja membeli kaset 'Michael Jackson - Dangerous'. Sepupu Abah, Pak Cik Azmi tiba-tiba ternampak kaset MJ saya, lalu memujuk saya untuk bertukar dengan kaset yang juga baru dibelinya 'Kompilasi Scorpions'. Dipujuk berkali-kali, akhirnya saya setuju walaupun pada mulanya saya walang hati. Saya kan budak kecik yang diajar supaya menghormati orang-orang yang lebih tua. Saya okey sahaja, walaupun saya tak kenal langsung Scorpions. 

Apabila Abah tahu saya ada kaset Scorpions, saya dipujuk supaya meletakkan kaset Scorpions tersebut di dalam kereta Abah. Saya pun okey sahaja. Sejak itu, 'setiap hujung minggu' selain mendengar lagu-lagu Rock Kapak Melayu 90an, saya mula 'jatuh cinta' dengan lagu-lagu Rock Mat Saleh. Padu wei! 

Malam-malam, sambil Abah memandu kereta pusing Bandaraya Kuala Lumpur hingga ke Petaling Jaya, saya akan berada di tempat duduk belakang sambil melihat bintang-bintang yang berkelipan megah di angkasa melalui cermin tingkap kereta diiringi kompilasi lagu-lagu terbaik Scorpions. Memang 'feel gila'. Terasa jiwa in sangat macho, walaupun saya sebenarnya pada ketika itu masih budak kecik lagi. Hahahaha. 

Sejak dari itu juga apa sahaja tentang Scorpions, saya sendiri berminat nak ambil tahu. Mereka sangat hebat. Apabila mengimbas kenangan ini semula, insiden pertukaran kaset 'Michael Jackson - Scorpions' itu adalah salah satu tindakan yang betul pernah dilakukan oleh saya seumur hidup. Hahaha. 

Seiring peredaran zaman kaset bertukar ke MP3/CD, saya akan beli. Saya sendiri pun ada membeli koleksi lengkap kompilasi Scorpions. Simpan elok-elok dalam beg CD. Kalau saya memandu perjalanan jauh-jauh saya akan pasang CD tu. Hendak pula, mendengarkan versi rockestra. Sangat BEST! Memang layan. That's why I'm STILL LOVING YOU, SCORPIONS. You guys are truly awesome! 

[DZASRIK : 100 | Perfect Score]


Blog DZASRIK

Instagram Facebook Tik Tok YouTube X @dzasrik

No comments:

Post a Comment

MOST POPULAR